BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, October 6, 2010

Sains & Seni Pengajaran

Menurut Kamus Dewan, pedagogi bermaksud kajian tentang kaedah dan prinsip pengajaran manakala menurut Kamus Longman Compact English Dictionary pula menyatakan pedagogi sebagai the science of teaching. Jelas bahawa pedagogi berkaitan dengan proses pengajaran iaitu bagaimana seseorang guru menyampaikan pelajaran atau ilmu pengetahuan kepada pelajar-pelajarnya. Pengajaran mengandungi matlamat dan tujuannya tersendiri. Sesuatu proses pengajaran itu dikatakan berjaya sekiranya matlamat dan tujuannya tercapai.
Proses pengajaran bukanlah semata-mata suatu proses bercirikan sains tetapi juga memiliki ciri-ciri seni. Proses pengajaran jelas mempunyai ciri-ciri sains kerana proses pengajaran berdasarkan penyelidikan, pemerhatian dan mempunyai rumusan-rumusan sebagaimana kebanyakan bidang sains.
Banyak penyelidikan dan pemerhatian telah dilakukan tentang proses pengajaran. Sebagaimana ilmu sains yang lain, proses pengajaran mengandungi banyak teori dan rumusan. Ia juga adalah suatu seni kerana dalam proses pengajaran seseorang guru itu perlu kreatif dalam usahanya untuk menjadikan pengajaran lebih menarik dan berkesan.
Seseorang guru memerlukan kemahiran di samping memiliki ilmu pengetahuan. Orang yang bijak dan banyak menguasai ilmu tidak semestinya dapat menjadi seorang guru yang efektif dan berjaya kerana dia mungkin kurang mahir menyalurkan ilmu atau maklumat yang ada padanya kepada orang lain.
Sebagaimana seni, mengajar juga memerlukan latihan. Seseorang itu pandai menari kerana dia telah berlatih menari berulang kali. Latihan yang sempurna serta guru yang berkeyakinan akan menjadikan pengajaran lebih menarik.
Guru juga seorang seniman kerana beliau perlu berlakon di hadapan pelajar- pelajarnya. Ruang di hadapan kelas seolah-olah pentas dan pelajar-pelajarnya sebagai penonton. Guru juga perlu menggunakan pergerakan badan, mimik muka dan tekanan suara yang sesuai. Seorang guru yang berjaya akan melupakan segala masalah peribadinya dan tidak membawa masalah tersebut ke dalam bilik darjah.

Sumber : Abd. Ghafar Md. Din

0 comments: