BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, October 3, 2010

BAGAIMANA MENGAJAR SENI DENGAN TEKNOLOGI
Perkembangan teknologi merupakan hal yang tak dapat dihentikan dan dibataskan. Ia seiring dengan sifat ilmu pengetahuan yang berkembang tanpa had dan berkait pula dengan pola, karakter, cara berfikir dan pandangan manusia. Pada mulanya teknologi adalah untuk membantu memudahkan aktiviti manusia, namun kini mereka dilihat semakin bergantung kepada teknologi seiring dengan peredaran masa. Ini kerana banyak keuntungan yang diperolehi oleh manusia seperti pantas, mudah dan fleksibel.
Terdapat hubungkait antara seni dan teknologi iaitu ketika ciri-ciri artistik (seni) diserapkan dalam penciptaan teknologi. Kita dapat melihat bagaimana kamera, komputer, telefon, televisyen dan lain-lain yang direka sedemikian rupa sehingga memiliki citarasa seni tinggi yang dapat menarik perhatian para pengguna di samping memiliki fungsi utama teknologi tersebut. Dengan adanya hubungkait itulah yang menjadikan teknologi sebagai media utama dalam mencipta, mengembang dan memasarkan karya seni.
Bagi seorang guru, khusunya mengajar pendidikan seni akan berasa sukar untuk mengajar semua jenis bidang seni berdasarkan kurikulum kerana jarang sekali guru seni mampu menguasai semua aliran seni seperti seni halus, seni kraf, seni reka, seni bina dan sebagainya. Oleh itu, jika seseorang guru itu hanya mahir dalam seni halus, maka dia hanya mengajar seni halus selama dia mengajar, sedangkan mungkin terdapat pelajar yang berpotensi selain daripada seni halus. Keadaan ini tentu akan membantutkan proses mengenali, memupuk dan mengolah potensi seni pelajar.
Pada dasarnya memang ini suatu hal yang wajar karena terbatasnya kemampuan guru sebagai manusia biasa, namun seiring dengan perkembangan teknologi maka masalah dalam pola pengajaran seni ini harus diubah dengan memanfaatkan penggunaan teknologi tersebut. Salah satu peralatan teknologi yang sangat membantu dalam pengajaran subjek pendidikan seni adalah komputer yang dilengkapi sistem audio dan pembesar layar (projektor). Lebih baik lagi jika dilengkapi jaringan internet dan sudah semestinya bahan-bahan yang akan disampaikan telah disiapkan lebih awal.
Komputer banyak membantu ketika guru harus menerangkan sesuatu topik berserta contohnya. Misalnya, seorang guru yang tidak begitu mahir dalam seni tari tetapi harus menyampaikan dan menunjukkan pelbagai jenis seni tari kepada para pelajarnya. Secara teori mungkin tidak masalah, namun ketika harus menunjukkan aksi tarian maka bermulalah masalah. Di sini, guru boleh menggunakan komputer dengan menayangkan video seni tari yang diperoleh melalui internet. Hasilnya, pelajar memperoleh penjelasan dan pemerhatian yang jauh lebih nyata dan imaginatif.
Contoh lain adalah ketika seseorang guru harus menunjukan contoh pelbagai jenis lukisan mengikut aliran seni lukis. Melalui internet, guru hanya sekadar mencari aliran seni lukis di internet, contohnya dengan menaip realisme, impresionisme, surealisme dan lain-lain. Kemudian, pelbagai lukisan terpapar mengikut jenis aliran yang dicari. Guru boleh memaparkan lukisan tersebut kepada pelajar melalui komputer. Begitu juga halnya jika guru mahu menunjukkan imej-imej yang lain.
Apa yang pasti, dengan teknologi guru seni dapat menyajikan pembelajaran yang lebih terperinci, informatif dan imaginatif. Para pelajar bagai digamit ke arah dunia pembelajaran yang lebih nyata dan membangun karakter seni pelajar itu sendiri. Ini mungkin sama halnya dengan subjek lain, yang ada ketikanya ia perlu dijelaskan dan dicontohkan. Justeru itu, diharapkan teknologi multimedia digunakan dalam proses pembelajaran di sekolah di samping kemahiran guru menggunakan teknologi tersebut.

0 comments: