BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, October 10, 2010

Peranan Seni dalam Pendidikan

Mengikut Dr. Sharifah Norul Akmar Syed Zamri (2006), asas pendidikan di rujuk sebagai “3R” iaitu membaca, menulis dan mengira. Penggunaan huruf, “R” adalah satu perkataan yang sesuai digunakan dalam Bahasa Inggeris tetapi mungkin tidak dalam Bahasa Melayu. Seni perlu dijadikan “R” keempat atau literasi asas kerana Seni dalam Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Terdapat 3 bidang utama dalam mata pelajaran ini iaitu seni visual, seni muzik dan seni pergerakan. Antara peranan-peranan Seni dalam Pendidikan ialah:
a) Proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih seronok
Pengajaran yang dilaksanakan dengan menggabungjalin pelbagai unsur seni dan berbeza dari kaedah pengajaran tradisional yang hanya menggunakan kapur dan papan tulis sebagai media dalam penyampaian maklumat dapat menjadikan murid berasa lebih seronok. Selain itu, murid akan berasa lebih selesa dan lebih mudah untuk memahami sesuatu tajuk yang diajar.
b) Memupuk nilai kerjasama
Secara semula jadi, kebanyakan aktiviti Seni Dalam Pendidikan tidak dapat mengelakkan murid-murid daripada terlibat dalam kegiatan yang beransur kerjasama. Aktiviti berkelompok menuntut setiap individu bergerak dan berinteraksi secara bekerjasama bagi mencapai kejayaan bersama. Aksi-aksi yang terdapat dalam Seni Dalam Pendidikan merangkumi aktiviti seni visual, muzik dan pergerakan mempunyai titik tolak interaksi sosial yang terjalin melalui deria sentuh.
c) Memenuhi keperluan sosial yang asas
Apabila semua murid berpeluang menyertai aktiviti –aktiviti yang sesuai dengan minat dan kebolehan mereka, maka akan terbentuklah satu situasi ideal yang dapat memenuhi kedua-dua matlamat sosial iaitu kemilikan dan keinginan diterima sebagai anggota kelompok. Murid-murid mahukan dirinya diterima sebagai anggota sebuah kelompok dan pada masa yang sama memerlukan kasih sayang.
Dalam kegiatan Seni Dalam Pendidikan, keperluan untuk belaian sekurang-kurangnya dipenuhi melalui pujian dan galakan yang diberi sebaik sahaja mereka mempersembahkan aktiviti yang menarik. Perhubungan mesra antara murid dapat mewujudkan suasana yang harmoni dan menyebabkan murid merasakan bahawa guru dan rakan-rakan prihatin terhadap dirinya dan menghargai bakat yang dimiliki.
d) Murid berpeluang untuk menjalani proses penerokaan semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996), penerokaan dapat ditakrifkan sebagai penyelidikan yang bertujuan untuk mengetahui sesuatu yang belum diketahui. Penerokaan dapat dilaksanakan dengan cara menjelajah. Namun begitu, proses ini memerlukan pelbagai bahan dan kaedah. Pengalaman meneroka juga merupakan sesuatu situasi pembelajaran. Meneroka dijalankan dengan membuat eksperimen, menyelidik dan mencipta menggunakan pelbagai idea dan bahan. Penerokaan terbahagi kepada 3 kategori iaitu alat dan bahan, cara pengelohan dan manipulasi serta idea dan isi kandungan.
e) Luahan perasaan dan aras keyakinan yang tinggi
Perasaan merupakan reaksi badan terhadap rangsangan yang diterima sama ada ia bersedia atau tidak. Di samping itu, perasaan juga mungkin dapat memberikan sumber manfaat dan kerugian kepada seseorang. Guru boleh mendapat tahu perasaan sebenar murid melalui tingkah laku yang dipamerkan. Murid yang menyertai aktiviti-aktiviti seperti permainan boleh mewujudkan suasana keriangan, bebas daripada tekanan emosi dan membina kecekalan dalam menghadapi persaingan dan cabaran. Individu yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi dapat melakukan aktiviti tanpa rasa segan atau bimbang mengenai pandangan orang lain terhadap dirinya. Oleh itu, setiap aktiviti yang dilakukan perlulah ada keyakinan supaya dapat menjamin keberkesanannya.
Kesimpulannya, kesemua bidang Seni Dalam Pendidikan iaitu seni visual, muzik dan pergerakan perlu diintegrasikan kerana ketiga-tiga subjek ini mempunyai motif dan peranan yang sama. Pengintegrasian ini akan memperkukuhkan dan memantapkan lagi kefahaman pelajar tentang tajuk-tajuk yang diajar.

Wednesday, October 6, 2010

Sains & Seni Pengajaran

Menurut Kamus Dewan, pedagogi bermaksud kajian tentang kaedah dan prinsip pengajaran manakala menurut Kamus Longman Compact English Dictionary pula menyatakan pedagogi sebagai the science of teaching. Jelas bahawa pedagogi berkaitan dengan proses pengajaran iaitu bagaimana seseorang guru menyampaikan pelajaran atau ilmu pengetahuan kepada pelajar-pelajarnya. Pengajaran mengandungi matlamat dan tujuannya tersendiri. Sesuatu proses pengajaran itu dikatakan berjaya sekiranya matlamat dan tujuannya tercapai.
Proses pengajaran bukanlah semata-mata suatu proses bercirikan sains tetapi juga memiliki ciri-ciri seni. Proses pengajaran jelas mempunyai ciri-ciri sains kerana proses pengajaran berdasarkan penyelidikan, pemerhatian dan mempunyai rumusan-rumusan sebagaimana kebanyakan bidang sains.
Banyak penyelidikan dan pemerhatian telah dilakukan tentang proses pengajaran. Sebagaimana ilmu sains yang lain, proses pengajaran mengandungi banyak teori dan rumusan. Ia juga adalah suatu seni kerana dalam proses pengajaran seseorang guru itu perlu kreatif dalam usahanya untuk menjadikan pengajaran lebih menarik dan berkesan.
Seseorang guru memerlukan kemahiran di samping memiliki ilmu pengetahuan. Orang yang bijak dan banyak menguasai ilmu tidak semestinya dapat menjadi seorang guru yang efektif dan berjaya kerana dia mungkin kurang mahir menyalurkan ilmu atau maklumat yang ada padanya kepada orang lain.
Sebagaimana seni, mengajar juga memerlukan latihan. Seseorang itu pandai menari kerana dia telah berlatih menari berulang kali. Latihan yang sempurna serta guru yang berkeyakinan akan menjadikan pengajaran lebih menarik.
Guru juga seorang seniman kerana beliau perlu berlakon di hadapan pelajar- pelajarnya. Ruang di hadapan kelas seolah-olah pentas dan pelajar-pelajarnya sebagai penonton. Guru juga perlu menggunakan pergerakan badan, mimik muka dan tekanan suara yang sesuai. Seorang guru yang berjaya akan melupakan segala masalah peribadinya dan tidak membawa masalah tersebut ke dalam bilik darjah.

Sumber : Abd. Ghafar Md. Din

Sunday, October 3, 2010

BAGAIMANA MENGAJAR SENI DENGAN TEKNOLOGI
Perkembangan teknologi merupakan hal yang tak dapat dihentikan dan dibataskan. Ia seiring dengan sifat ilmu pengetahuan yang berkembang tanpa had dan berkait pula dengan pola, karakter, cara berfikir dan pandangan manusia. Pada mulanya teknologi adalah untuk membantu memudahkan aktiviti manusia, namun kini mereka dilihat semakin bergantung kepada teknologi seiring dengan peredaran masa. Ini kerana banyak keuntungan yang diperolehi oleh manusia seperti pantas, mudah dan fleksibel.
Terdapat hubungkait antara seni dan teknologi iaitu ketika ciri-ciri artistik (seni) diserapkan dalam penciptaan teknologi. Kita dapat melihat bagaimana kamera, komputer, telefon, televisyen dan lain-lain yang direka sedemikian rupa sehingga memiliki citarasa seni tinggi yang dapat menarik perhatian para pengguna di samping memiliki fungsi utama teknologi tersebut. Dengan adanya hubungkait itulah yang menjadikan teknologi sebagai media utama dalam mencipta, mengembang dan memasarkan karya seni.
Bagi seorang guru, khusunya mengajar pendidikan seni akan berasa sukar untuk mengajar semua jenis bidang seni berdasarkan kurikulum kerana jarang sekali guru seni mampu menguasai semua aliran seni seperti seni halus, seni kraf, seni reka, seni bina dan sebagainya. Oleh itu, jika seseorang guru itu hanya mahir dalam seni halus, maka dia hanya mengajar seni halus selama dia mengajar, sedangkan mungkin terdapat pelajar yang berpotensi selain daripada seni halus. Keadaan ini tentu akan membantutkan proses mengenali, memupuk dan mengolah potensi seni pelajar.
Pada dasarnya memang ini suatu hal yang wajar karena terbatasnya kemampuan guru sebagai manusia biasa, namun seiring dengan perkembangan teknologi maka masalah dalam pola pengajaran seni ini harus diubah dengan memanfaatkan penggunaan teknologi tersebut. Salah satu peralatan teknologi yang sangat membantu dalam pengajaran subjek pendidikan seni adalah komputer yang dilengkapi sistem audio dan pembesar layar (projektor). Lebih baik lagi jika dilengkapi jaringan internet dan sudah semestinya bahan-bahan yang akan disampaikan telah disiapkan lebih awal.
Komputer banyak membantu ketika guru harus menerangkan sesuatu topik berserta contohnya. Misalnya, seorang guru yang tidak begitu mahir dalam seni tari tetapi harus menyampaikan dan menunjukkan pelbagai jenis seni tari kepada para pelajarnya. Secara teori mungkin tidak masalah, namun ketika harus menunjukkan aksi tarian maka bermulalah masalah. Di sini, guru boleh menggunakan komputer dengan menayangkan video seni tari yang diperoleh melalui internet. Hasilnya, pelajar memperoleh penjelasan dan pemerhatian yang jauh lebih nyata dan imaginatif.
Contoh lain adalah ketika seseorang guru harus menunjukan contoh pelbagai jenis lukisan mengikut aliran seni lukis. Melalui internet, guru hanya sekadar mencari aliran seni lukis di internet, contohnya dengan menaip realisme, impresionisme, surealisme dan lain-lain. Kemudian, pelbagai lukisan terpapar mengikut jenis aliran yang dicari. Guru boleh memaparkan lukisan tersebut kepada pelajar melalui komputer. Begitu juga halnya jika guru mahu menunjukkan imej-imej yang lain.
Apa yang pasti, dengan teknologi guru seni dapat menyajikan pembelajaran yang lebih terperinci, informatif dan imaginatif. Para pelajar bagai digamit ke arah dunia pembelajaran yang lebih nyata dan membangun karakter seni pelajar itu sendiri. Ini mungkin sama halnya dengan subjek lain, yang ada ketikanya ia perlu dijelaskan dan dicontohkan. Justeru itu, diharapkan teknologi multimedia digunakan dalam proses pembelajaran di sekolah di samping kemahiran guru menggunakan teknologi tersebut.

Saturday, October 2, 2010

Faedah & Kepentingan Seni Kepada Pendidik

Faedah & Kepentingan Seni Kepada Pendidik
Seni dalam pendidikan adalah untuk membantu perkembangan menyeluruh dan seimbang setiap insan dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani selari dengan Falsafah Pendidikan Negara (FPN). Seni dalam pendidikan bermatlamat untuk menyediakan guru permulaan sekolah rendah dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mengintegrasikan aktiviti seni visual, muzik dan pergerakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran pelbagai bidang mata pelajaran lain. Melalui aktiviti ini, ianya dapat mendorong kanak-kanak menggunakan imaginasi, ekspresi, inkuiri dan kecerdasan pelbagai.
Integrasi seni dalam pendidikan akan mambantu dan memudahkan lagi guru dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan mengaplikasikan teori-teori pembelajaran dalam proses tersebut terutama di sekolah rendah. Di antara faedah dan kepentingan seni kepada seorang pendidik ialah seperti:

1) Melahirkan guru yang kreatif, inovatif, peka, berpersonaliti yang seimbang, berketrampilan dan professional.
Menurut Leonardo da Vinci iaitu seorang seniman, jurutera, anatomis dan saintis menyatakan bahawa dengan penghayatan seni yang betul, ianya akan memotivasikan kita untuk menjadi seorang guru yang kreatif, inovatif, peka, berpesonaliti yang seimbang, berketrampilan dan professional. Guru yang kreatif dan inovatif mampu menarik perhatian atau tumpuan pelajar untuk belajar dengan lebih yakin dan berkesan. Misalnya, melalui aktiviti seni visual, muzik dan pergerakan, guru dapat membantu murid-muridnya melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran dan mendorong pelajar menggunakan imaginasi, ekspresi, inkuiri dan kecerdasan kepada murid-murid dan ini sekaligus memberi keseronokkan kepada murid-murid tersebut.

2) Membantu guru melaksanakan dengan mudah proses pengajaran dan pembelajaran.
Seni membantu para guru dalam memahami diri dan persekitaran. Aktiviti seni visual, muzik dan pergerakan memudahkan proses menghubungkait semua benda dalam alam ini. Dengan itu, seni dapat membantu untuk mengaktifkan proses pembelajaran dan perpindahan pembelajaran.
3) Guru mudah mencapai objektif atau matlamat.
Integrasi seni visual, muzik dan pergerakan dengan pelajaran yang lain membantu dalam mengimbangkan perkembangan otak kiri dan kanan. Quadrant Concept (1991) oleh Hermann menunjukkan perkembangan otak kiri dan kanan, menyatakan bahawa seni membantu pemikiran yang rasional dan intuitif seseorang terutama untuk guru agar mereka dapat menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan. Justeru itu, dengan pengetahuan tentang keistimewaan seni, guru mudah untuk mencapai objektif dan matlamat dalam pengajaran dan pembelajaran.

4) Guru dapat mempelbagaikan teknik dan strategi dalam pengajaran dan pembelajaran.
Dalam Teori Kecergasan Manusia, Gardner (1983) mengesyorkan bahawa terdapat tujuh jenis kecergasan tetapi kebanyakan sekolah memberi penekanan kecergasan linguistik dan matematik sahaja. Kecergasan lain mungkin akan hilang. Teori ini menyokong seni perlu diberi peranan yang penting dalam kurikulum kerana manusia memperolehi pengetahuan melalui pelbagai kecergasan serta melalui perbagai teknik pengajaran.
Oleh itu, guru hendaklah menggunakan pelbagai teknik dan strategi serta kelebihan diri untuk menggalakkan murid mencapai objektif kendiri dalam melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran. Pendidikan Seni menyarankan strategi pembelajaran yang bersepadu. Dalam setiap kegiatan seni perkara seperti pemupukan nilai dan pemahaman unsur seni dihubungkaitkan dengan kemahiran asas seni. Cara bekerja yang teratur, cermat dan selamat dalam proses membuat sentiasa ditegaskan.

Thursday, April 1, 2010

Kepentingan Kreativiti

Kepentingan Kreativiti dalam Pengajaran Pendidikan Seni Visual

1) Boleh meningkatkan pemikiran kreatif dan tahap pengetahuan artistik pelajar sekaligus memperkembangkan potensi peribadi pelajar kerana ia memberi pengalaman melihat imej daripada sumber-sumber lain dan ini dapat mencetuskan idea kepada hasil lukisan atau bentuk-bentuk seni yang dilakukan selanjutnya.

2) Membentuk motivasi dan kesedaran kendiri pelajar kerana melaluinya mereka akan lebih mengenali dan memahami tentang kebolehan dan kelemahan diri sendiri.

3) Bijak dalam membentuk hubungan sosial kerana ia merangsang situasi yang membenarkan pelajar bercakap, berfikir & bekerja secara bebas serta menggalakkan pelajar untuk menerangkan secara verbal tentang imej atau bentuk-bentuk karya yang dihasilkan.

4) Menggalakkan pelajar hadir ke kelas kerana pendidikan seni sentiasa memberi ruang kepada keseronokan dalam menghasilkan kerja-kerja seni.

5) Boleh meningkatkan tahap pencapaian pelajar dalam subjek atau mata pelajaran yang lain kerana pengetahuan artistik boleh dikaitkan dengan subjek-subjek lain di sekolah.

6) Dapat menggambarkan perkembangan idea atau pemikiran pelajar dalam usaha menterjemah kepada bentuk-bentuk visual, contohnya melalui lakaran/lukisan ataupun portfolio yang dihasilkan, sekaligus mendorong pelajar menjelaskan tentang idea mereka.

7) Dapat menyediakan suasana yang menguji, mencabar & merangsang sehingga pelajar dapat berfikir di luar kotak pemikiran.

8) Dapat menanamkan keyakinan dalam diri pelajar berasaskan keupayaan-keupayaan yang ada melalui pengalaman melihat dan meluahkan sesuatu secara visual tentang apa yang difikirkan dan membuat penjelasan sama ada membuat apresiasi atau kritikan terhadap sesebuah karya.

9) Dapat mengelakkan kebosanan pelajar kerana ia melibatkan imej-imej visual yang dapat menarik perhatian dan lebih berkesan daripada penjelasan menggunakan ayat dan perkataan.

10) Dapat membina makna berdasarkan bahan-bahan yang dilihat, dirasai dan dipelajari oleh pelajar terutamanya dalam penghasilan karya-karya seni oleh mereka sendiri.

Catan manuskrip Parsi