BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, March 5, 2010

Masalah & Penyelesaiannya...

Setiap manusia di muka bumi Allah S.W.T. ini pasti tidak dapat lari daripada masalah. Masalah yang dihadapi memerlukan penyelesaian dan kemahiran kita membuat keputusan. Kedua-dua perkara ini sudah menjadi lumrah hidup dan sebati dengan diri kita serta kadang kala kita menerima dan menyelesaikannya dengan cara yang paling mudah dengan hanya mengutamakan hasil tanpa memikirkan cara untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Oleh itu, terhasillah penyelesaian dan keputusan yang kurang bijak.

Menurut Clements dan Nerida F.Ellerton (1991), ‘masalah’ bermaksud tugas yang dihadapi oleh seseorang yang perlu dicari jawapan atau penyelesaiannya sedangkan tidak tersedia sesuatu prosedur penyelesaiannya. ‘Menyelesaikan masalah’ pula merupakan keupayaan minda untuk mencari idea-idea & langkah-langkah alternatif untuk mengatasi kekurangan atau halangan yang ada bagi mencapai objektif yang dihasratkan.

Menurut Halpern (1984), ‘membuat keputusan’ ialah keupayaan minda untuk memilih satu pilihan yang terbaik daripada beberapa alternatif untuk mencapai tujuan atau objektif yang ditentukan berdasarkan kriteria tertentu.

Oleh itu, dapat disimpulkan di sini ialah setiap masalah yang dihadapi perlulah diselesaikan. Menyelesaikan masalah memerlukan seseorang itu berfikir secara kritis dan kreatif, mencari idea-idea alternatif dan langkah-langkah tertentu untuk mengatasi halangan dan seterusnya membuat keputusan yang terbaik untuk mengatasi masalah tersebut.

Di sini, masalah yang ingin saya utarakan ialah masalah perceraian di kalangan pasangan suami isteri. Sejak kebelakangan ini seakan satu tulah apabila usia perkahwinan yang belum boleh dikira matang, terputus akibat konflik yang melanda rumah tangga. Harapan setinggi gunung yang diletakkan pada awal usia perkahwinan kadangkala memakan diri sendiri sehingga membuatkan ada pasangan yang sanggup melakukan tindakan kurang bijak kerana tidak mampu menahan lagi dugaan yang diterima.

Terdapat pelbagai faktor atau punca yang boleh menjurus kepada perceraian, antaranya ialah kurang pemahaman terhadap tanggungjawab sebagai suami atau ayah dan isteri atau ibu dan anak.

Tanggungjawab sebagai suami atau ayah, isteri atau ibu dan anak adalah mengikut saranan agama, tradisi masyarakat dan peranan-peranan baru yang dipelajari melalui pendidikan formal dan tidak formal. Pendedahan terhadap tanggungjawab ini memerlukan usaha yang berterusan kerana masyarakat masih percaya bahawa apabila berkahwin, telah cukup sempurna kedua-dua mempelai untuk melaksanakan tugas masing-masing. Tidak dinafikan ada yang jahil tentang tanggungjawabnya, ada yang tahu secara samar-samar dan ada yang tahu tetapi tidak mahu mengamalkannya.

Walaupun banyak faktor yang menyumbang ke arah perceraian pasangan suami isteri, namun faktor utama adalah mengabaikan agama. Awal kepada agama ialah mengenal Tuhan (akidah). Mendidik keluarga kepada Tuhan pada hakikatnya ialah usaha menanam keyakinan bahawa hidup adalah untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T. Instrumen yang diguna pakai ialah mengerjakan solat lima kali sehari dan yang terbaik ialah berjemaah. Jika amalan ini diabaikan, maka terbentuklah keluarga yang pincang, resah, gelisah dan tidak tenteram.

Faktor ekonomi memainkan peranan penting dalam menentukan keperluan dan kehendak setiap ahli keluarganya dipenuhi. Ekonomi keluarga yang kurang mantap sering menyumbang kepada faktor keruntuhan rumah tangga. Kos sara hidup yang semakin meningkat membuatkan pasangan suami isteri menghadkan perbelanjaan. Pembelian barangan yang tidak perlu hanya akan mengurangkan pendapatan keluarga. Ini boleh mengundang kepada pergaduhan antara suami isteri dan menggugat kebahagiaan rumah tangga. Krisis kewangan akan menjadi lebih rumit jika mereka tidak merancang perbelanjaan terutama jika pendapatan isi rumah sangat kecil dan terhad.

Perubahan gaya hidup sedikit sebanyak boleh menjurus ke arah perceraian.

Kenaikan pangkat bererti gaji dan elaun akan naik. Status hidup juga bertambah baik. Keadaan sesebuah keluarga akan lebih malang jika perubahan kerjaya mempengaruhi perubahan pemikiran, emosi dan tingkah laku seperti anggapan tidak setaraf, membeli jenama pakaian yang mahal dan melihat pengorbanan pasangan sebagai tidak ada harga. Malah ada yang mengambil kesempatan perubahan hidup bererti bertukar pasangan. Justeru itu, wujudlah orang ketiga yang mengganggu ketenteraman hidup keluarga yang sedia ada.

Konflik atau pergaduhan dalam hubungan suami isteri adalah asam garam yang perlu dilalui bersama sebaik sahaja bersetuju untuk sehidup semati. Ia adalah perkara lumrah yang berlaku walau bagaimana rukun sekalipun perhubungan mereka. Bukan semua rumah tangga yang didirikan tidak pernah bergegar. Dalam mengemudi rumah tangga ke arah kebahagiaan hakiki, peranan suami dan isteri dalam mewujudkan kasih sayang serta keharmonian seharusnya menjadi keutamaan.

Tanggungjawab adalah kunci paling utama dalam mewujudkan keharmonian rumah tangga. Tanggungjawab tersebut bukan sahaja sekadar menyediakan tempat tinggal dan memenuhi segala tuntutan fizikal seperti pakaian, makan minum, kenderaan dan sebagainya, malah ia lebih khusus kepada memberikan kasih sayang, menjaga hati dan perasaan pasangan. Oleh itu, Islam mengadakan undang-undang yang lengkap bermula daripada seseorang itu merancang hendak berkahwin hinggalah ke peringkat perceraian sekiranya hubungan suami isteri itu tidak dapat diselamatkan lagi.

Selain itu, pendekatan psikologi seperti memujuk amat membantu dalam menjernihkan kembali ketegangan konflik rumah tangga. Konflik yang muncul memerlukan satu pihak untuk melihat ke hadapan apakah yang perlu dilakukan tanpa meninggalkan prasangka buruk dan mengusutkan fikiran. Menggunakan pujukan bagi menyelesaikan konflik bermaksud menggunakan fikiran serta kemahiran diplomasi dan bukannya tangan atau kaki. Elemen memujuk termasuk lenggok bahasa, pernyataan emosi dan perlakuan yang dapat membantu ke arah mengurangkan ketegangan.

Kaedah memujuk yang terbaik adalah berdialog. Tidak perlu untuk menggesa pasangan masing-masing bercakap kerana lambat-laun dia akan memberitahu juga apa yang difikirkannya. Contohnya, suami memujuk isteri dengan mengucapkan kata-kata pujian, membelai dan melakukan sentuhan fizikal yang mampu menenangkan hati ketika

isteri sedang marah atau merajuk. Ini sekaligus dapat menimbulkan rasa hormat antara pasangan masing-masing kerana tanpa menggunakan kekasaran atau ayat-ayat pedas ketika menegur, pasangan boleh memaafkan antara satu sama lain dengan mudah jika segala masalah ditangani dengan berhemah.

Setiap manusia di muka bumi ini telah ditentukan jodoh masing-masing sejak azali lagi. Oleh itu, suami isteri perlu menerima pasangan masing-masing seadanya dan jangan suka membanding-bandingkan kemampuan pasangan dengan orang lain kerana rezeki setiap orang itu berbeza. Jika suami tidak mampu memberikan kesenangan dan kemewahan yang diidamkan, maka isteri tidak boleh menarik muka masam hanya kerana permintaannya tidak dipenuhi. Jangan terlalu mementingkan diri sendiri sebaliknya fikirkan juga kepentingan dan kebahagiaan pasangan. Jika suami atau isteri bahagia, sudah pastilah pasangannya juga turut menerima tempias kebahagiaannya.

Pasangan suami isteri juga perlu saling melengkapi kerana tiada manusia yang sempurna di dunia ini. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Terimalah kelemahan dan kekurangan pasangan dan di sebalik kekurangan itulah segala kelemahan pasangan akan cuba diatasi dengan sebaik mungkin. Hindarkan diri daripada hidup dalam dunia fantasi atau kepura-puraan, sebaliknya berpijaklah pada bumi yang nyata. Harapan kesempurnaan hanya akan memberi tekanan kepada pasangan masing-masing dan seterusnya menggoyahkan ikatan suami isteri.

Di samping itu, kejujuran mampu mewujudkan keharmonian dalam sesebuah rumah tangga. Bercakap benar lebih baik daripada membohongi perasaan pasangan semata-mata untuk menyedapkan hatinya. Jika suami atau isteri membohongi pasangannya, keseronokan yang dirasainya hanyalah sementara sebaliknya apabila tembelangnya pecah, pasangannya akan menderita seumur hidup. Suami atau isteri perlu jujur pada diri sendiri terlebih dulu dan kemudian barulah jujur terhadap pasangan masing-masing.

Tidak dinafikan bahawa menguraikan konflik rumah tangga kadangkala memerlukan pakar yang mahir seperti kaunselor atau ahli psikologi untuk memberi panduan bagi mengendurkan konflik yang dihadapi. Jika isu yang melibatkan kedua-dua pihak atau terdapat pihak ketiga seperti perebutan anak, khidmat pakar dapat diguna pakai sebagai sebahagian daripada penyelesaian. Namun begitu, terdapat dua cabaran utama iaitu kos yang perlu dibayar dan jangka masa penyelesaian yang tidak ditetapkan Kedua-dua cabaran ini kadangkala memakan masa yang lama dan merumitkan serta melibatkan ramai orang. Kebaikan menggunakan khidmat pakar ini ialah lebih mudah menerima keputusan kerana masing-masing meletakkan kepakaran sebagai sandaran.

Sillars dan rakan-rakan (1983) mencadangkan tiga cara untuk memberi respon kepada konflik iaitu : elak konflik, bergaduh kerana konflik dan bekerjasama dengan konflik. Elak konflik bererti konflik tidak selesai dan akan muncul kembali. Bergaduh kerana konflik akan menimbulkan ketegangan dan memberi kesan negatif seperti marah dan membalas dendam serta menghalang daripada penyelesaian masalah dan ini akan memusnahkan hubungan manakala bekerjasama dengan konflik akan membina kemurnian idea, emosi yang positif dan bersedia mencari penyelesaian. Emosi positif ini akan menjurus hubungan yang lebih erat bagi pasangan suami isteri serta membina keinginan untuk berkongsi masalah sekaligus mewujudkan suasana tolak ansur dalam membuat keputusan.

Oleh itu, pasangan suami isteri harus bersifat proaktif dalam menangani masalah perceraian. Seperti mana kata pakar perkahwinan, masalah rumah tangga harus dilihat dari sudut paling dalam biarpun ia hanya bermula dengan hal yang paling kecil. Punca masalah harus dituntas dari akar umbi. Latihan semula dan kempen-kempen berkaitan perlu dilaksanakan di samping menerapkan kesedaran mengenai peri pentingnya intitusi keluarga dalam kehidupan. Ingatlah, tiada sebarang masalah di dunia ini yang tidak dapat diselesaikan. Kewarasan berfikir dapat menyelamatkan bahtera rumah tangga impian.

SSL 2012

KREATIVITI DALAM SENI VISUAL

SESI JAN - JUN 2010

MASALAH PERCERAIAN DI KALANGAN PASANGAN SUAMI ISTERI & PENYELESAIANNYA

DISEDIAKAN OLEH :

NOORMINA BT HJ. ABD.KASIM

D20091035314

AT23

SEM.02 (KUMP.B)

DINILAI OLEH: DR. ROSKANG BIN JAILANI

0 comments: